Di Barat, insuran memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakatnya. Tetapi, di rantau ini khususnya Malaysia, masyarakat sering kali memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada menyertai skim insuran yang ditawarkan.
Bagi mereka yang sudah memulakan kerjaya, perlu mempunyai insuran untuk perlindungan diri sepanjang hayat bagi memastikan masa depan terjamin.
Kajian sebelum ini mendapati punca utama kematian di negara ini ialah penyakit jantung, strok dan barah. Sepanjang 2002 saja, sebanyak lebih 45,000 pesakit dikesan menghidap barah dan ia dikesan semakin meningkat dari lima peratus kepada 10 peratus setiap tahun .
Kebarangkalian bagi seseorang itu diserang penyakit atau mengalami kemalangan tidak mustahil kerana apa saja boleh berlaku.
Kita juga tidak boleh mengatakan tidak akan diserang penyakit kronik mahupun terbabit dalam sebarang kemalangan. Faktor itu perlu dikikis daripada minda, apa tah pula rawatan disediakan untuk kes tertentu seperti penyakit kronik memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Kecanggihan teknologi moden membolehkan seseorang itu menerima rawatan yang lebih baik, sekali gus memberi peluang untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.
Masyarakat daripada semua peringkat usia sangat memerlukan skim insuran. Bukan saja dilindungi apabila diserang penyakit, malah skim insuran yang diambil dengan betul mempunyai banyak kebaikan antaranya seperti melindungi kos rawatan, kemalangan, hilang upaya, kematian dan sebagainya.
Insuran mampu melindungi mereka daripada terpaksa membayar kos rawatan yang tinggi bukan saja untuk diri sendiri bahkan keluarga, khususnya bagi mereka yang sudah berumah tangga.
Ketika ini, ada pelbagai jenis insuran diperkenalkan. Ada yang cenderung untuk kesihatan semata-mata, ada juga yang lebih menyeluruh termasuk membabitkan perlindungan hayat termasuk pendidikan anak.
No comments:
Post a Comment